Pengasas TAJMA Consulting
Pencipta Profil Psikometrik TAJMA

Professor Datuk Dr. Mohd Tajudin Ninggal atau lebih dikenali dengan nama "Prof Taj" merupakan seorang Kaunselor Profesional Berdaftar, Pengamal Bertauliah Neuro-Linguistic Programming (NLP), dan Psikologis Kaunseling terlatih dari Amerika Syarikat. Beliau aktif memberikan perkhidmatan profesional menggunakan pendekatan kaunseling integratif kepada pihak agensi kerajaan, sektor korporat, kolej dan universiti, badan profesional, expatriates, NGO dan masyarakat umum. Beliau telah memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Kepujian) (Bimbingan & Kaunseling) dari Universiti Putra Malaysia, Sarjana (Psikologi Kaunseling) dan PhD (Kaunseling & Penyeliaan) dari Western Michigan University, Amerika Syarikat. Beliau juga telah memperoleh Sijil Pendidikan Eksekutif daripada Haas Business School, University of California, Berkeley, Amerika Syarikat.

Profesor Tajudin merupakan pencipta Sistem Psikologi Pintar dalam talian yang pertama di Malaysia sejak tahun 2003. Sistem yang dikenali sebagai TAJMA merangkumi dua perisian iaitu Profil Personaliti TAJMA Plus (PPT+) dan Profil Minat Kerjaya TAJMA Plus (PMKT+) yang terdapat dalam dwi-bahasa. Pengalaman profesional beliau selama lebih 33 tahun dalam bidang psikologi kaunseling difokuskan dalam aspek pengujian dan penilaian psikologi; corporate coaching; pengurusan stres, kaunseling individu dan kelompok; kaunseling kerjaya; kaunseling perkahwinan dan keluarga; kaunseling LGBTQ dan kaunseling silang-budaya. Sehingga kini, beliau telah melaksanakan profiling dan penilaian psikometrik TAJMA kepada lebih 50,000 individu dari pelbagai peringkat umur, jantina dan sektor pekerjaan.

Profesor Tajudin pernah berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Kaunselor Malaysia, Ahli Majlis Penasihat Kaunseling Malaysia, Setiausaha dan Timbalan Presiden Persatuan Kaunseling Malaysia (PERKAMA International). Beliau juga merupakan pengasas bersama, ahli seumur hidup, dan mantan Timbalan Presiden I, Persatuan Psikometrik Malaysia (MPA). Beliau aktif di peringkat kaunseling antarabangsa dan merupakan Ahli Profesional American Counselling Association (ACA), British Association of Counselling and Psychotherapy (BACP), dan Association of Psychological and Educational Counsellors of Asia-Pacific (APECA). Di atas kepakarannya, beliau telah dilantik oleh Institut Kehakiman Michigan (MJI), Amerika Syarikat sebagai konsultan kaunseling silang-budaya selama enam tahun.

Profesor Tajudin juga merupakan pengasas kepada Pendekatan Kaunseling Psiko-spiritual Al-Ghazali dan aktif dalam bidang penyelidikan dan penulisan ilmiah. Beliau telah menghasilkan tujuh buah buku berkaitan bidang kaunseling dan pembangunan pelajar serta telah membentangkan lebih daripada 200 kertas kerja ilmiah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sejak 10 tahun yang lalu. Kini, Profesor Tajudin merupakan Visiting Psychological Consultant dengan Twin-Towers Medical Centre, KLCC, Kuala Lumpur dan Eminent Visiting Professor dengan Universiti Brunei Darussalam (UBD).